Ahad, 22 Januari 2017
Masjid Lama Bukit Apeng dibina pada tahun 1914M di atas sebidang tanah Lot 5651, 1490 dan 1494 yang diwakafkan oleh Tuan Haji Ngah bin Abdullah. Masjid ini kini berusia 102 tahun dan telah berbakti selama 83 tahun kepada masyarakat setempat.
Menurut sejarah masjid ini mempunyai struktur binaan yang hampir sama dengan Masjid Ar-Rahman, Kampung Air Puteh dan Masjid Al-Rahmaniah, Kampung Lembah Keluang, Kubu Gajah, Selama, Perak. Nama kedua-dua masjid ini juga mempunyai persamaan antara satu sama lain.
Persamaan struktur binaan ini terutama bahagian letak bumbung difahamkan kerana pertalian kekeluargaan dan penghijrahan penduduk di ketiga-tiga kawasan tersebut iaitu Bukit Apeng, Air Puteh dan Lembah Keluang.
Antara penduduk yang memberi sumbangan wakaf bagi menubuhkan masjid ini ialah, Tuan Haji Ngah bin Abdullah sebagai Ketua, dibantu oleh Penghulu Husain bin Haji Muhammad, Tuan Sheikh Ismail bin Sheikh Tahir, Tuan Haji Said bin Haji Maaif, Lebai Ishak dan Lebai Din bin Said.
Mereka juga adalah peneroka asal yang membuka "Kampung Bukit Apeng" ini. Menurut sejarah, Tuan Haji Ngah bin Abdullah, adalah salah seorang panglima Diraja yang melarikan diri bersama Sultan Ahmad Tajuddin ketika Kedah di serang oleh Siam pada tahun 1834M. Sultan Ahmad Tajuddin telah melarikan diri ke Pulau Pinang sementara Tuan Ngah Abdullah melarikan diri ke Kerian dan membuka penepatan di Kampung Raja, sebuah perkampungan yang terletak berhampiran lembah Sungai Kerian.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan